Berita Suria | 7 September 2021
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima sebanyak 15 peranti pemekat oksigen Longfian 10 liter dan 20,000 alat pernafasan pembedahan Novita R5 pada Isnin (6 Sep).
Sumbangan itu hasil kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor (SIJF) dengan badan kemanusiaan dan kemasyarakatan Singapura, Humanity Matters Limited.
Penyerahan peranti-peranti pemekat oksigen dan alat-alat pernafasan pembedahan itu berlangsung di Hospital Permai di Johor Bahru.
Ia turut dihadiri Anggota Lembaga Pemegang Amanah Avinderjit Singh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIJF Fadhly Suffian Laili dan Penolong Kanan Ketua Pengarah Negeri Johor Dr Sukhaila Daros.
Encik Avinderjit Singh meluahkan rasa terima kasih kepada Humanity Matters Limited atas sumbangan murah hati itu dan sokongannya yang berterusan sewaktu pandemik ini.
"Mesin-mesin ini akan diagihkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor kepada Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru kerana ramai pesakit COVID-19 di ICU amat memerlukan peralatan perubatan ini," tambah beliau.
Dr Sukhaila Daros juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua yayasan sambil berkata bahawa ia adalah bantuan yang besar bagi pesakit COVID-19 di Johor Bahru.
Comments