top of page

Sesi dialog sediakan platform untuk penuntut institusi pengajian tinggi bincang isu geopolitik, ancaman pengganasan

Berita Mediacorp | 1 Oct 2024



SINGAPURA: Belia diharap dapat terus 'proaktif' dalam menghulurkan bantuan dan berganding bahu dengan masyarakat bagi usaha-usaha kemanusiaan di Singapura.


Ini dapat dilihat menerusi sumbangan golongan belia kepada badan-badan seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan sebagainya.


Demikian dikongsi Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, di luar sesi dialog bersama para pemimpin pelajar Melayu/Islam dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL) anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (1 Okt).


Encik Zaqy disertai lagi dua orang anggota panel iaitu Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Menteri Negara Rahayu Mahzam.


Dialog tertutup itu disertai 60 pelajar IHL.


Menurut Encik Zaqy, sesi dialog itu bertujuan untuk mendekati golongan belia tempatan berhubung ancaman pengganasan yang berleluasa di wadah online oleh sebilangan kumpulan di luar Singapura serta individu yang menjadi radikal sendiri.


Beliau berkata bahawa adalah penting untuk melengkapi golongan belia dengan ilmu dan maklumat yang tepat supaya mereka tidak mudah dipengaruhi.


Encik Zaqy menambah bahawa adalah penting untuk mereka memahami situasi geopolitik serta kedudukan Singapura dalam pendiriannya tentang hukum antarabangsa.


"Kita juga melihat bagaimana mereka semua hari ini mempunyai pandangan dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza dan kita juga cuba rasional, dan juga menyokong mereka jika mereka mempunyai inisiatif yang mereka mahu lakukan untuk membantu secara proaktif bagi mereka yang terkesan dan terjejas oleh konflik di Gaza ini. Hari ini, walaupun kita melihat ancaman ini tidak reda dan kita melihat ancaman itu telah merebak ke Lubnan sebagainya, saya rasa amat penting di mana kita meneruskan usaha kita sebagai masyarakat dan sebagai negara untuk memberi sokongan," kongsi Encik Zaqy kepada wartawan Nazirah Jamzuri.


"Saya berharap supaya belia-belia kita boleh terus menjadi proaktif memahami bagaimana kita dapat bergabung tenaga antara masyarakat untuk menjalankan (usaha) seperti memberi bekalan perubatan, makanan dan sebagainya untuk kita meneruskan usaha kemanusiaan kita. Sehingga kini, kita telah melihat bagaimana rakyat Singapura telah memberi sokongan yang baik melalui RLAF dan juga badan-badan yang lain di mana kita memberi pertolongan dan bantuan," tambahnya.


KEPRIHATINAN BELIA TERHADAP APA YANG BERLAKU DI DUNIA


Bagi Cik Rahayu pula, isu-isu yang dikemukakan dalam dialog itu seperti isu geopolitik hari ini, respons Singapura terhadapnya dan penglibatan belia, mencerminkan keprihatinan belia terhadap apa yang berlaku di dunia.Namun keprihatinan itu perlu didorong pengetahuan dan maklumat yang tepat."


Kita dapat bermacam-macam informasi dan belia kini lebih terbuka kepada isu-isu yang berlaku di tempat yang jauh tetapi yang menjadi masalah adalah kadangkala dengan membaca bahan-bahan tertentu, jika mereka tidak periksa dan tidak memahami tentang algoritma yang ada, mereka mungkin akan terus termasuk dalam satu kepompong informasi di mana mereka tidak dapat memahami pendapat yang berbeza daripada pendapat mereka. Jadi ada bahayanya di situ," menurut Cik Rahayu.


"Jadi penting untuk kita selalu menggalakkan belia dan orang ramai untuk lebih terbuka membaca bahan-bahan yang berbeza dan cuba memahami orang yang mungkin mempunyai pendapat yang berlainan daripada mereka. Jadi itu yang saya rasa penting, bukan sahaja orang kata mengambil maklumat menerusi Internet tetapi juga berbincang, berjumpa dengan orang ramai seperti dalam dialog ini. Itu saya rasa penting untuk kita terus segarkan pendapat dan pandangan kita," tambahnya.


LANDASAN UNTUK BELIA FAHAMI ISU DI TIMUR TENGAH DENGAN MENDALAM MENERUSI KONTEKS SG


Mewujudkan ruang selamat untuk golongan beliau berbincang seperti dialog sebegitu menurut Dr Faishal merupakan 'satu landasan' untuk membolehkan golongan belia memahami isu di Timur Tengah dengan lebih mendalam dan melihatnya dari kaca mata dan konteks Singapura.


"Sesi seperti ini adalah satu wadah yang tepat dan juga diperlukan dan kami telah mengadakan lebih daripada 30 sesi yang MHA dan badan-badan ataupun agensi-agensi lain dan di mana kita memerlukan suasana yang selamat untuk membincang isu sensitif seperti ini. Kami akan meneruskan usaha ini untuk adakan lebih banyak acara ataupun perbincangan seperti ini kerana lebih ramai yang mahu kita dekati," kongsi Dr Faishal.


Bagi membanteras pengganasan pula, Dr Faishal berkongsi bahawa bahawa 'peer support' atau sistem sokongan antara satu sama lain adalah penting di mana belia boleh saling membantu dan menyokong rakan mereka.


"Mereka juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat dan juga mengutarakan keprihatinan mereka tentang isu keganasan ini dengan para pemimpin kita dan juga di landasan seperti ini. Mereka juga boleh menyumbang menerusi kerja-kerja kemanusiaan yang kita lakarkan seperti oleh RLAF, Humanity Matters dan lain-lain lagi," tambah beliau.


PESERTA RAIH MANFAAT DARI SESI DIALOG


Para peserta yang ditemui BERITA Mediacorp juga amat mengalu-alukan sesi dialog sebegini yang membolehkan mereka berkongsi idea dan pandangan.


"Pada hari ini, kami telah membicarakan tentang topik-topik seperti geopolitik dan juga keselamatan di Singapura, bagaimana kami sebagai pelajar boleh memainkan peranan kita dalam mempelajari dan melakarkan usaha dan aktiviti untuk sokongan yang insya-Allah dapat membantu meredakan sebilangan keadaan," kongsi penuntut Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Shafiqah Mohamed Fairoz.


Seorang lagi peserta, Encik Muhammad Khairil Fahmi, 24 tahun juga akur akan kepentingan sesi dialog sebegitu bagi para belia mengutarakan pandangan mereka.


"Dari sesi tadi, saya dapat memahami isu-isu kompleks yang kita sedang menghadapi dengan lebih mendalam seperti peranan penting yang warga Melayu/Islam perlu mainkan dalam Singapura yang berbilang kaum," kongsi Encik Khairil, penuntut Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).


"Sesi-sesi sebegini sangat penting untuk para belia kerana sebagai belia, kita ingin didengari oleh pemimpin negara kita dan terutama untuk isu-isu yang mungkin jauh daripada kita, tetapi dekat di hati. Kita ingin tahu yang pemimpin negara kita akan mendengar apa yang kita ingin ucapkan," tambah beliau.


Selain penuntut universiti, sesi dialog itu turut disertai pelajar politeknik dan madrasah tempatan.



Comments


bottom of page