Berita Mediacorp | 18 Sep 2024
SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menghantar bantuan kemanusiaan kepada masyarakat di Laos, Myanmar dan Vietnam, yang terjejas oleh Taufan Yagi.
Sebuah pengangkutan kapal tangki pelbagai peranan A330 dan dua pesawat C-130 dikerahkan untuk menghantar bekalan bantuan, jelas Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Rabu (18 Sep) dalam satu kenyataan media.
Bekalan yang dikirimkan termasuk selimut, kit kebersihan dan penapis air, kontena air yang boleh dilipat serta pek makanan.
Selain mengambil daripada bekalan SAF, barangan tersebut dikumpulkan dengan bantuan rakan kongsi pertubuhan bukan pemerintah, jelas MINDEF.
Ini termasuk Caritas Singapore, Humanity Matters, Palang Merah Singapura, Relief Singapore dan Pusat Penyelaras bagi Bantuan Kemanusiaan untuk Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Beberapa negara Asia Tenggara telah dilanda dengan taufan tersebut, yang pada mulanya membadai Filipina pada 2 September.
Ribut tropika tersebut melanda utara Vietnam, sekali gus memusnahkan sebilangan kilang, menyebabkan banjir dahsyat dan meragut nyawa lebih 290 orang.
Lebih 200 penduduk di Myanmar telah terbunuh, dengan media negara itu melaporkan hampir 260,000 hektar sawah padi dan tanaman lain musnah akibat banjir.
Kerosakan tersebut, menyebabkan junta Myanmar mengeluarkan permohonan bagi bantuan asing hujung minggu lalu.
BACA:
Di Laos, pihak berkuasa menjalankan operasi menyelamat untuk membantu mereka yang terkandas akibat banjir selepas taufan tersebut membawa hujan lebat ke negara itu, lapor Radio Free Asia.
Kolonel Fredie Tan, pengarah Pusat Penyelaras bagi Bantuan Kemanusiaan untuk Pengurusan Bencana Changi SAF, menyatakan pusat tersebut dan angkatan bersenjata Singapura "bersedia dan komited" untuk menyokong bantuan kemanusiaan serantau dan usaha bantuan bencana, di samping meringankan beban masyarakat yang terjejas di negara-negara jiran.
"Kami akan terus bekerja rapat dengan rakan tentera sivil seperti pertubuhan bukan pemerintah serantau, serta Pusat AHA," tambahnya.
Commentaires