Berita Mediacorp | 6 Sept 2024
SINGAPURA: Memperkasakan golongan pekerja hijrahan dengan memberi bantuan untuk mengemudi kehidupan mereka di Singapura serta menggalakkan mereka untuk berbakti kepada masyarakat.
Demikian adalah antara usaha murni yang dijalankan Encik Abdul Karim Sojib, seorang pekerja hijrahan dari Bangladesh.
Sejak 2017, beliau aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama rakan-rakan pekerja hijrahan yang lain, sebagai usaha membantu mereka menyesuaikan diri dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat di negara ini.
"Kami tidak mempunyai keluarga atau kawan-kawan. Menjadi relawan memberi kami peluang untuk berkawan dan meluangkan masa yang baik di Singapura. Melakukan kerja-kerja sukarelawan juga memberi saya kebahagiaan. Jadi saya tidak mahu kehilangan rasa kebahagiaan itu.
"Selepas melakukan kerja-kerja kesukarelawan, penghargaan daripada orang ramai, sangat baik dan sangat memberi inspirasi. Setelah anda melakukan sesuatu yang baik, apabila orang datang kepada anda, berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih, ini adalah pengalaman yang sangat menggembirakan dan perasaan yang sangat menyenangkan," kata Encik Abdul Karim kepada wartawan Syawal Yusoff.
Antara usaha kemasyarakatan yang disokongnya adalah pengumpulan dana untuk mangsa konflik Israel-Hamas yang diterajui pertubuhan tidak meraih untung, Humanity Matters.
Dengan kerjasama 700 individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk pekerja hijrahan, lebih S$81,500 berjaya dikumpulkan.
Bagi Encik Abdul Karim, 31 tahun, yang bertugas sebagai Penyelia Pembinaan Kanan, aspek yang paling menarik perhatian beliau adalah perpaduan antara masyarakat pekerja hijrahan dan warga tempatan dalam usaha tersebut.
"Selepas pengumpulan dana itu, saya sebenarnya merasakan semangat yang kuat. Wow, ini adalah kerjasama yang sangat hebat antara penduduk tempatan dan pekerja hijrahan. Sangat menakjubkan. Selepas melihat jumlah S$81,000, sangat memberi inspirasi. Kami hanya mengumpul sumbangan S$1, S$2, S$5, dan S$10. Setelah semua dikira, jumlahnya sangat besar. Ini adalah sesuatu yang sangat baik bagi kami dan memberi inspirasi kepada kami untuk melakukan lebih banyak lagi," ujarnya.
Pada masa ini, beliau aktif dalam usaha mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir di Bangladesh, India, dan Nepal.
SEDIA WADAH UNTUK BANTU PEKERJA HIJRAHAN DI SG
Selain terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan, Encik Abdul Karim juga aktif berkongsi maklumat dengan komuniti pekerja hijrahan di Singapura melalui Facebook.
Dengan lebih 144,000 pengikut di laman itu, beliau berkongsi pelbagai informasi, termasuk peraturan pekerjaan, undang-undang negara, dan tip untuk membantu golongan ini menyesuaikan diri di Singapura.
Inisiatif itu bermula daripada pengalaman peribadinya ketika mula bekerja di Singapura sedekad lalu.
"Bagi saya sendiri, mendapatkan maklumat sebenarnya sangat sukar. Selepas itu, saya mula mendapatkan maklumat secara perlahan-lahan. Kemudian, saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan saya. Apabila saya berkongsi dengan rakan-rakan, mereka sebenarnya sangat teruja. Mereka berkata, "Wow, ini adalah maklumat yang sangat baik untuk kami. Setiap hari, banyak soalan yang diterima, dan selepas waktu kerja saya, saya cuba untuk menjawabnya," kata beliau.
Semangat dan dedikasi Encik Abdul Karim dalam meningkatkan mutu kehidupan pekerja hijrahan di Singapura diiktiraf.
Beliau antara 24 finalis untuk Anugerah Silent Heroes tahun ini.
Edisi ke-11 anugerah ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Orang Awam Singapura (CAS) dan gerakan 'Silent Heroes', mengiktiraf sumbangan individu yang menunjukkan kebaikan dan sikap penyayang.
"Ini sebenarnya adalah inspirasi yang sangat baik untuk semua, bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua saudara-saudara kita. Dan saya dari Bangladesh, ini adalah pencapaian yang sangat besar bagi saya juga, kerana saya seorang pekerja hijrahan. Sudah tentu, ini adalah peluang yang sangat baik untuk melakukan lebih banyak untuk komuniti kami dan untuk saudara-saudara kita," jelas Encik Abdul Karim yang mewakili kategori Warga Asing Penyayang.
LUTFIL HADI MUHAMMAD SAIYIT PENERIMA ANUGERAH APEX PERTAMA
Untuk pertama kalinya, sebuah kategori baharu telah diperkenalkan untuk menghargai para pelajar yang menunjukkan potensi besar dalam kepimpinan dan membuat perubahan positif.
Kategori tersebut, dikenali sebagai Anugerah APEX Silent Heroes, merupakan kesinambungan daripada acara yang diadakan pada bulan Julai lalu, yang telah mengiktiraf 53 pelajar.
Antara lima pelajar yang diiktiraf adalah Lutfil Hadi Muhammad Saiyit dari Sekolah Menengah Hua Yi.
Selain aktif menyumbang tenaga dalam acara-acara sekolah, pelajar Menengah 4 itu juga terlibat sebagai relawan di Masjid Tentera.
Sejak 2022, beliau kerap menyertai aktiviti di masjid, terutama semasa bulan Ramadan dan kem cuti sekolah.
"Anugerah ini meningkatkan motivasi saya dan juga untuk melakukan lebih banyak kerja-kerja sukarelawan sebegini. Ia juga menarik anak-anak muda seperti saya untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan sebegini," kata Lutfil, anak kedua tiga beradik.
Menurut Lutfil, ibu bapanya adalah pendorong utama yang sentiasa menggalakkan beliau dan adik-beradiknya untuk berbakti kepada masyarakat.
Selain berhasrat membantu masyarakat, Lutfil juga terdorong untuk menyokong usaha-usaha kebajikan haiwan dan golongan kurang upaya.
Walaupun baru dua tahun menjadi relawan, Lutfil memegang aspirasi tinggi untuk terus menyumbang tenaga demi memperkukuhkan masyarakat Melayu.
"Saya mahu membantu kerana impak yang saya berikan kepada masyarakat. Mungkin itu perkara yang kecil yang saya buat tapi itu boleh jadi impak yang besar untuk masyarakat saya," ujar Lutfil.
Lutfil bercita-cita untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Elektronik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat tahun hadapan.
Majlis Anugerah Silent Heroes akan berlangsung pada hari Sabtu, 7 September, dan akan dihadiri oleh tetamu terhormat, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.
Comments