Berita Mediacorp | 1 Dec 2024
SINGAPURA: Sebuah cek bernilai S$538,000 telah diserahkan kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk menyokong usaha menyediakan bantuan kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza.
Penyerahan cek oleh Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (Harmony Circle) itu berlangsung pada Ahad (1 Dis) semasa acara membungkus barangan keperluan yang kelima, anjuran bersama Humanity Matters dan RLAF di Madrasah Aljunied.
Acara tersebut disaksikan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong.
Dana yang disumbangkan itu dikumpulkan melalui kempen pengumpulan dana selama dua bulan oleh Harmony Circle, ‘Harmony-in-Action’, yang dijalankan dari 1 Oktober hingga 30 November 2024 dengan kerjasama RLAF.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Hamid, berkata, "Kemurahan hati yang ditunjukkan oleh Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama mencerminkan kepercayaan bahawa tiada tindakan kebaikan yang terlalu kecil untuk mengurangkan penderitaan manusia."
"Dana itu akan membolehkan kami menyediakan bantuan kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga di Gaza, menangani keperluan mendesak seperti kesihatan, bantuan, dan bekalan perubatan," tambah beliau.
Encik Edwin Tong berkata bahawa usaha itu mencerminkan keprihatinan dan sifat ihsan masyarakat Singapura terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
"Saya rasa bahawa bantuan dan pelbagai program yang telah kita laksanakan di Singapura juga menunjukkan satu perkara, iaitu rakyat Singapura boleh bersatu untuk tujuan yang baik. Dan ini sangat penting dalam memperkukuhkan fabrik kita, memperkukuhkan masyarakat kita, memastikan bahawa apa yang ada di antara kita, dengan latar belakang, kumpulan, dan kepercayaan yang berbeza, dapat diperkukuhkan," ujar beliau.
LEBIH 300 RELAWAN SINGSING LENGAN BUNGKUS BEKALAN BANTUAN UNTUK GAZA
Acara membungkus barangan keperluan bagi membantu penduduk Gaza itu menarik penyertaan lebih 300 sukarelawan dari pelbagai peringkat usia, agama, dan kaum.
Antara mereka adalah pelajar, golongan karyawan, pesara, dan suri rumah yang menyumbang tenaga bagi menyokong usaha kemanusiaan ini.
Lebih daripada 20 tan barangan bantuan, termasuk bekalan untuk penjagaan kesihatan, keperluan air, makanan, dan kebersihan disiapkan untuk dihantar kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat perang Israel-Hamas.
Antara yang turun padang untuk menyumbang tenaga ialah Nur Batrisyia Abdul Rani, 28 tahun.
"Saya rasa melalui acara relawan ini, saya dapat menyumbang betapa kecil pun untuk para penduduk Gaza Yang paling penting, kita juga perlu mendidik diri kita tentang situasi di sana. Ada banyak cara untuk membantu, menerusi sumbangan wang, ada juga peluang bersukarela seperti hari ini yang memberi kami peluang untuk menolong situasi di Gaza," kata beliau.
Umar Rasyideen Mohamed Salehin, 16 tahun, yang menyertai lebih 100 relawan dari Madrasah Aljunied pula berkata: "Telah sampai cuti akhir tahun, jadi saya ingin melakukan aktiviti yang baik dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan orang di luar sana.
"Apabila saya dapat tahu tentang aktiviti ini, saya rasa ini satu peluang bagi saya untuk menolong dan berinteraksi bersama kawan-kawan dan mereka dari pelbagai lapisan masyarakat.
Cik Shuyi Mo, 58 tahun, seorang relawan bukan Melayu, turut berkongsi pengalamannya:
"Saya rasa sangat rendah hati melihat masyarakat dari pelbagai latar belakang datang bersama untuk tujuan yang sama. Apabila ada masyarakat yang memerlukan, kita perlu bersama-sama melakukan usaha terbaik. Walaupun ia mungkin satu usaha kecil, yang penting adalah kita hadir untuk membantu," ujar Cik Shuyi.
Bekalan bantuan tersebut akan dihantar ke Jordan dengan sokongan daripada Pacific International Lines (PIL).
Humanity Matters dan RLAF akan menggerakkan satu pasukan bantuan bersama pada Januari untuk menerima dan menyelaraskan penghantaran di Jordan sebelum proses pemindahan bantuan ke Gaza dijalankan.
Timbalan Pengerusi Humanity Matters, Encik Noor Mohamed Marican, menjelaskan bahawa usaha penghantaran bantuan ke Gaza bukanlah sesuatu yang mudah.
"Bukan senang hendak masuk (sempadan). Ada yang tercicir, ada yang tidak dapat masuk. Ini satu cabaran. Yang penting, kita tolong mereka supaya mereka dapat menerima bekalan ini dan melegakan mereka," katanya.
Beliau juga menambah, "Kami dapat kerjasama daripada badan antarabangsa, dan kami yakin kali ini bekalan bantuan akan dapat dihantar dengan selamat ke Gaza."
Usaha RLAF dan Humanity Matters untuk mengutip dana bagi membantu mangsa konflik Gaza pada 17 November lalu, pula berjaya mengumpulkan S$57,000.
Comments