Kerja bina pusat perlindungan bagi 600 keluarga di Naypyitaw, Myanmar bermula
- Humanity Matters
- Apr 3
- 2 min read
Berita Harian | 3 Apr 2025
Kerja-kerja mempersiapkan kemudahan perlindungan sementara telah dimulakan bagi menempatkan sekitar 600 keluarga yang kehilangan tempat berteduh di Naypyitaw, berikutan gempa bumi di Myanmar pada 28 Mac.
Demikian dinyatakan oleh Penasihat Khas badan amal tempatan, Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, pada 2 April.
Kemudahan yang dimaksudkan meliputi tandas mudah alih, bekalan air minuman yang selamat, dan kawasan untuk memasak dan mencuci.
Daya usaha yang diselaraskan badan tersebut melibatkan pasukan seramai 11 anggota yang bekerja dengan rakan kongsi, Asean CARE UAB Foundation, Myanmar Golden Rock dan KBZ Bank.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Hassan berkata pusat perlindungan itu dijangka siap sekitar minggu, dengan peruntukan tanah dan pentadbiran daripada pemerintah Myanmar.
“Pada 2 April, kami telah memulakan kerja-kerja penyediaan untuk membina kemudahan perlindungan sementara bagi 600 keluarga yang kehilangan tempat tinggal termasuk tempat perlindungan, tandas mudah alih, air minuman selamat, tempat mencuci dan memasak,” kata Encik Hassan.
Menurut Huanity Matters, pembinaan kemudahan itu merupakan langkah susulan ekoran kerosakan prasarana besar akibat gempa bumi, cabaran berterusan di lapangan, serta atas nasihat dan permintaan daripada pemerintah Myanmar.

Encik Hassan berkata: “Ramai orang kehilangan orang tersayang, manakala lebih ramai lagi kehilangan tempat tinggal…
“Mereka yang rumahnya musnah atau rosak, dan mereka yang takut untuk kembali ke rumah masing-masing, kini menetap di tempat terbuka, di tengah-tengah gelombang panas, dengan suhu melebihi 37 darjah Celsius.
“Adalah penting mereka dilindungi daripada cuaca yang mencabar dan diberi akses kepada bekalan air mencukupi bagi mengelakkan penyakit.”
Dalam keadaan sedemikian, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi pasukan bantuan kemanusiaan di sana.
Antara yang dikongsi ialah cuaca yang sangat panas serta rangkaian komunikasi yang amat terhad dan tidak stabil.
“Akses ke kawasan-kawasan terjejas juga sukar disebabkan jalan raya dan jambatan yang musnah teruk.
“Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pasukan bantuan, malah memanjangkan masa perjalanan untuk tiba ke kawasan yang memerlukan,” ujar Encik Hassan.
Selain itu, bekalan petrol turut sukar diperolehi kerana lori tangki menghadapi kesukaran untuk menghantar semula bekalan ke stesen minyak akibat kerosakan teruk pada jalan raya.
Menurut Encik Hassan, barangan bantuan di kawasan terjejas juga payah diperolehi memandangkan sekitar 80 peratus premis perniagaan ditutup, sama ada akibat kerosakan atau kerana kebimbangan peniaga untuk beroperasi dari premis mereka.
“Sejak tiba pada 29 Mac, pasukan kami bekerja 20 jam sehari untuk menyokong fasa genting kecemasan kemanusiaan,” kata Encik Hassan.
Menyedari keperluan mendesak bagi bekalan air bersih, pasukan itu turut menyediakan tempat rawatan air bagi membekalkan air selamat kepada mereka yang cedera dan terlantar.
Encik Hassan menjelaskan saluran paip air bawah tanah telah rosak teruk akibat gempa bumi, menyebabkan gangguan besar kepada bekalan air tempatan.
Pasukan tersebut, tambah Encik Hassan, dijangka terus berada di Myanmar sehingga 18 April.
Bình luận