Berita Harian | 1 Dec 2024
Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (Harmony Circle) telah menyampaikan cek berjumlah $538,000 kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk menyokong usaha RLAF menyampaikan bantuan kritikal bagi kanak-kanak dan keluarga yang terjejas dengan krisis kemanusiaan di Gaza.
Cek itu diserahkan oleh Pengerusi Majlis Penyelaras Harmony Circle, Paderi Andrew Khoo, kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, dengan disaksikan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dalam satu majlis di Madrasah Aljunied pada 1 Disember.
Menurut kenyataan Harmony Circle, jumlah itu merupakan hasil kempen kumpul dana Harmony Circle dengan kerjasama RLAF yang dinamakan Harmony-in-Action (HIA), dari 1 Oktober hingga 30 November.
Berucap di majlis tersebut, Encik Tong berkata usaha itu bukan sahaja mencerminkan rasa belas ihsan rakyat Singapura, tetapi juga menunjukkan bagaimana masyarakat berbilang agama dan latar belakang dapat bersatu demi satu tujuan mulia.
Beliau juga melahirkan rasa senang melihat pelbagai pertubuhan menyumbang kepada kempen HIA itu.
Antaranya termasuk Masjid Khalid, Kuil Sree Ramar dan Gereja Grace Bible-Presbyterian yang mengambil inisiatif untuk membuat penilaian sendiri dan menganjurkan usaha kumpul dana mereka selain mendekati masyarakat dan mengusahakan pelbagai kaedah untuk mengumpul dana.
Ini termasuk dengan pengagihan nasi beriani dan biskut untuk menyokong kempen itu, dengan kerjasama rapat bersama Harmony Circle Geylang Serai dan Siglap.
Menggariskan komitmen Singapura kepada usaha memupuk keamanan dan mengurangkan penderitaan, Encik Tong memberi contoh pelbagai usaha yang telah dijalankan Singapura termasuk lima bantuan kemanusiaan bernilai sekitar $18 juta yang telah disalurkan ke Gaza serta pelaksanaan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) bernilai $10 juta untuk membantu Penguasa Palestin membina keupayaan.
Namun lebih daripada itu, beliau berkata ia menunjukkan bahawa warga Singapura berupaya bersatu demi satu tujuan yang baik dan ini adalah penting dalam usaha memperkukuh fabrik masyarakat Singapura, tanpa mengira latar belakang mahupun agama.
“Apa jua konflik di tempat lain, kita mesti sentiasa memastikan agar fabrik masyarakat kita... dan masyarakat kita tetap kukuh dan erat.
“Kita ibarat (hidangan) rojak, kerana kita istimewa. Setiap seorang daripada kita ada sos istimewa tapi setiap bahan dan setiap elemen rojak itu... istimewa, unik dan berbeza.
“Namun kita jauh lebih hebat secara bersama berbanding apabila sendirian,” kata Encik Tong.
Encik Tong turut bertemu dengan beberapa relawan yang meluangkan masa membungkus barangan keperluan bantuan bagi masyarakat yang terjejas di Gaza.
Acara anjuran badan kemanusiaan silang agama setempat, Humanity Matters (HM) dan RLAF itu disertai sekitar 300 relawan daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, karyawan, pesara dan suri rumah.
Hasilnya, bekalan bantuan lebih 20 tan berjaya disiapkan.
Menurut kenyataan HM, kontena yang mengandungi bekalan itu akan dikirimkan ke Jordan, dengan sokongan syarikat perkapalan Pacific International Lines (PIL).
HM dan RLAF akan menghantar pasukan bantuan bersama pada Januari 2025 untuk menyelaras kiriman itu di Jordan sebelum dihantar ke Gaza menerusi laluan darat.
Salah seorang relawan yang hadir ialah Encik Raziff Hamid, 55 tahun.
“Saya rasa kami sebagai sebuah negara, rakyat Singapura dan masyarakat yang bersatu, telah melakukan sedikit sebanyak untuk membantu mangsa konflik tersebut,” ujar penduduk Yishun itu.
Seorang lagi relawan yang turut serta dalam acara pembungkusan tersebut adalah Cik Mo Shuyi, seorang karyawan kewangan.
Wanita berusia 58 tahun yang turun padang bersama suaminya itu berkata beliau rasa terpanggil untuk menyumbang kepada usaha meringankan beban krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
“Seperti yang termaktub dalam ikrar negara kita, terutamanya dalam hal kemanusiaan, ia sepatutnya tidak mengambil kira kaum, bahasa atau agama,” ujarnya.
Comments