top of page

Keluarga tiga beranak luang masa kutip derma untuk Gaza

Berita Harian | 17 Nov 2024



Tahun ini, Encik George Hitchens, 56 tahun, meraikan hari jadi isterinya dengan cara yang berbeza sedikit.


Bersama anak mereka, Ethan, Encik Hitchens dan isterinya, Cik Selena, yang menyambut hari jadi ke-52 tahun pada 17 November, memilih untuk berdiri dan berjalan beberapa jam di bawah bahang matahari untuk mengumpul derma demi membantu mangsa konflik Israel-Palestin di Gaza.


Keluarga itu berjalan dari stesen MRT Paya Lebar hingga ke Pasar Geylang Serai, menghulurkan tabung kepada sesiapa yang ditemui mereka.


“Pada mulanya ia agak sukar kerana ramai yang enggan menderma, tetapi kami juga bertemu ramai yang berbesar hati untuk menderma, dan ini menjadikannya pengalamannya amat berbaloi,” kata Cik Selena.


Keluarga itu antara lebih 300 sukarelawan yang menyertai usaha mengumpul dana di jalanan pada 17 November untuk membantu mangsa konflik Israel-Palestin yang berterusan di Gaza.

Ia dianjurkan bersama oleh badan kemanusiaan silang agama setempat, Humanity Matters (HM) dan agensi kemanusiaan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).


Sukarelawan yang menyertai usaha itu terdiri daripada penduduk di Singapura dari pelbagai negara dan latar belakang, termasuk karyawan, pelajar, suri rumah dan pekerja binaan.


Selain memohon derma, sukarelawan juga mengedarkan pelekat yang mengandungi mesej ‘Satu Negara, Satu Kemanusiaan’, yang menurut penganjur, bertujuan menyampaikan mesej perpaduan dalam menyumbang untuk kebaikan kemanusiaan.


Perkara ini turut ditekan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang hadir untuk melancarkan usaha kutipan derma.


“Walaupun kita mungkin tidak berdaya untuk menyelesaikan konflik ini, kita masih mempunyai keupayaan untuk bertindak dengan belas kasihan dan memberi sumbangan. Ini memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, di mana individu, komuniti dan sektor bekerjasama,” kata beliau.


Encik Zaqy berkata usaha HM dan RLAF membantu mangsa konflik di Gaza selama ini, dengan cara yang memupuk persefahaman dan kerjasama merentas agama, budaya dan komuniti di Singapura, memperkukuh perpaduan sosial.


“Usaha sebegini... memastikan kita kekal bersatu walaupun dalam dunia yang kerap berbalah,” tambah beliau.


RLAF dan HM antara pertubuhan setempat yang aktif memungut derma untuk mangsa konflik di Gaza.


RLAF telah mengumpul dana lebih $10.2 juta yang antara lain disampaikan kepada mangsa konflik di Gaza melalui kerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef).


Sehingga Julai, HM telah menghantar lebih 50 tan bekalan bantuan ke Gaza. Pada Oktober, HM menghantar dan memasang sistem rawatan air di pusat latihan vokasional UNRWA di sana.

Buat masa ini, pemerintah Singapura dan pertubuhan bukan pemerintah setempat telah memberi sumbangan bernilai sekitar $18 juta kepada Gaza.


Perangkaan terkini Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha) menunjukkan lebih 43,000 rakyat Palestin telah terkorban dan hampir dua juta penduduk Gaza kini menjadi pelarian sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023. Lebih 1,200 warga Israel terkorban dalam tempoh yang sama.


Mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Muhammad Syakir Moharum, 24 tahun, yang menyertai usaha mengutip derma pada 17 November berkata beliau berbesar hati kerana dapat memainkan peranan bersama ramai yang lain untuk membantu mangsa konflik di Gaza.


“Saya rasa kita mempunyai kewajipan, bukan sahaja untuk membantu, malah menggalak orang lain turut membantu penduduk di Gaza,” kata beliau.






Comments


bottom of page