top of page

Inisiatif baru bakal saksikan kerjasama Asean tangani bencana

Berita Harian | 19 Aug 2024



Satu daya usaha baru yang menyediakan wadah untuk negara Asean bekerjasama dengan lebih cekap dan berkesan dalam memberi tindak balas terhadap bencana alam di rantau ini telah ditubuhkan.


Dipanggil Asean Care, ia adalah pakatan awam berstruktur untuk pengurusan bencana serantau yang beroperasi berbilang hala di kawasan yang dilanda bencana.


Inisiatif itu adalah di bawah bidang kuasa Humanity Matters, sebuah badan bukan pemerintah (NGO) Singapura.


Ia telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 19 Ogos di Pusat Punggol Soka, yang turut dihadiri wakil negara Asean yang lain.


Encik Shanmugam mengalu-alukan daya usaha seperti itu yang mampu melibatkan lebih ramai orang dalam menangani situasi bencana.


“Sepanjang 20 tahun lalu – dua dekad atau lebih – negara Asean telah mencapai kemajuan yang ketara dalam meningkatkan daya tahan bencana di rantau ini.


"Namun, pemerintah sahaja tidak boleh melakukan ini. Ia memerlukan seluruh masyarakat untuk bersatu dan berusaha.


“Saya gembira kerana Humanity Matters telah mengambil peranan untuk menubuhkan inisiatif Asean Care ini,” kata beliau kepada wartawan.


Encik Shanmugam percaya Asean Care mampu membantu mengukuhkan kapasiti dan penyelarasan daya tahan kolektif terhadap bencana.


“Ia akan memudahkan pertukaran idea, dan mengukuhkan hubungan kerja di antara pihak berkepentingan utama.


“Perikatan ini juga akan menyediakan rantaian bekalan yang diperlukan dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.


“Saya difahamkan bahawa Humanity Matters akan bekerjasama dengan rakan kongsi pada empat bulan akan datang untuk menyimpan bekalan bantuan, yang boleh dihantar dengan cepat apabila diperlukan,” tambah Encik Shanmugam.


Sehingga kini, Humanity Matters telah bekerjasama dengan lebih 70 pertubuhan dan kumpulan masyarakat, di dalam negara dan serantau Asean, serta merancang memanfaatkan Asean Care untuk mengembangkan lagi rangkaiannya.


Penasihat khas bagi badan tersebut, Encik Hassan Ahmad, 53 tahun, berkata:

“Kami berharap dalam empat hingga lima tahun akan datang, kami dapat mengembangkan rangkaian ini kepada dua kali ganda.”


Beliau turut menambah bahawa mereka bukan sahaja bekerjasama dengan pertubuhan kemanusiaan, malah dengan kumpulan agama, sektor sivik dan juga privet.


Dengan adanya Asean Care ini, rakyat dari pelbagai negara Asean mampu berganding bahu untuk membantu situasi bencana di rantau ini.


Anggota Asean Care akan melalui latihan di pelbagai negara Asean.


Menurut Encik Hassan, di samping memberikan pertolongan, ia akan turut memberi mereka peluang mempelajari budaya negara serantau seperti memahami pandangan kehidupan di sana.

Dengan mempelajari budaya berbeza, ia juga mampu meningkatkan lagi hubungan antara negara Asean.


Encik Shanmugam turut berkongsi bahawa berdasarkan Rangkaian Maklumat Bencana Asean pada 2023, terdapat 1,000 kejadian bencana yang melanda negara Asean seperti taufan, banjir, tanah runtuh, gelombang panas dan kemarau.


“Ia telah menjejas lebih 22 juta orang, dan menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira AS$640 juta ($838.3 juta).


“Laporan Risiko Dunia 2023 juga mendapati bahawa beberapa negara Asia Tenggara adalah antara 10 negara teratas yang mempunyai risiko tertinggi bagi bencana,” kata beliau.

Ini sekali gus menunjukkan betapa keperluan menguatkan lagi respons negara Asean dalam menangani bencana alam.


Dengan penubuhan Asean Care ini, ia akan melengkapkan struktur tindak balas serantau yang sedia ada.


Sehingga kini, Humanity Matters telah membantu dalam bencana seperti taufan, banjir, gempa bumi, tsunami dan letupan gunung berapi di Indonesia, India, Laos, Myanmar, Pakistan, Palestin, Filipina, Thailand dan Turkey.



Comments


bottom of page