top of page

Humanity Matters selesai hantar bantuan ke-4 ke Gaza, beri peluang warga libatkan diri

Berita Harian | 4 Nov 2024



Lebih daripada sekadar menderma, adalah penting bagi orang ramai menghulurkan bantuan secara fizikal, serta menunjukkan keprihatinan mereka mengenai konflik Israel-Palestin yang berterusan dan kian meningkat baru-baru ini yang melibatkan entiti lain di Timur Tengah, kata Penasihat Khas (Kemanusiaan) badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM), Encik Hassan Ahmad.


Dengan perspektif itu, HM akan bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bagi menjalankan kutipan dana di tempat awam pada 17 November dan mengajak orang ramai agar membantu membungkus bekalan bantuan untuk Gaza pada 1 Disember, kongsi Encik Hassan kepada Berita Harian (BH) pada 1 November.


Menurut Encik Hassan, beliau menerima banyak soalan mengenai saluran dana yang telah dikumpulkan dan bagaimana ia diagihkan.


Beliau berkata: “Kami ingin memberi peluang kepada orang ramai melihat bagaimana sumbangan dan bantuan mereka diagihkan kepada mangsa yang memerlukan di Gaza.


“Kami juga ingin mereka melibatkan diri bersama. Kami sedang mencari sukarelawan untuk membantu membungkus bekalan bantuan pada 1 Disember nanti.


“Ia juga boleh menjadi wadah bagi orang awam menunjukkan keprihatinan mereka mengenai konflik di Timur Tengah dan mereka dapat berkongsi pengalaman ini bersama keluarga dan rakan mereka.”


Dalam pada itu, HM telah menghantar bekalan bantuan keempatnya bagi Gaza pada 27 Oktober.


Ia juga menandakan selesainya Fasa 1 sokongan untuk keperluan penghidratan di pusat latihan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan latihan vokasional kepada lebih 2,000 pelarian golongan belia Palestin.


“Bantuan keempat ini sebenarnya adalah untuk membantu golongan yang mungkin terpinggir, iaitu pelarian terdahulu yang telah berjaya menyelamatkan diri mereka.

“Jadi apa yang telah mereka lakukan ialah mereka sebenarnya menerima bantuan dan menetap di pusat latihan UNRWA.


“Lebih 2,000 pelarian berusia 17 hingga 30 tahun menerima latihan vokasional di pusat tersebut agar apabila konflik ini berakhir, atau keadaan menjadi lebih stabil dan jika ada genjatan senjata, mereka akan dapat kembali bekerja dan membantu rakyat mereka sendiri,” tambah Encik Hassan.


Menurut beliau, Fasa 1 sokongan untuk keperluan penghidratan itu penting kerana mereka memerlukan kemudahan air yang telah dirawat bagi kehidupan harian.


“Terdapat asrama dan dapur di pusat latihan tersebut dan kami diminta menyediakan sumber air tambahan yang telah dirawat.


“Namun untuk merawat bekalan air yang ada, kami perlu memahami mutu air bawah tanah, susun atur asrama, rangkaian pengedaran dan juga jumlah air yang perlu dirawat setiap hari.

“Oleh kerana itu, tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk menyalur bantuan kali ini yang mengambil masa beberapa bulan,” kata Encik Hassan.


Kerjasama untuk menyalurkan bantuan penghidratan telah dimulakan oleh Jabatan Ehwal Palestin Kerajaan Jordan, dan dibantu oleh Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), tambahnya.


Sebelumnya HM telah menghantar tiga bekalan bahan bantuan kemanusiaan bagi mangsa di Gaza pada November 2023, Mac dan April 2024.

Comments


Commenting has been turned off.
bottom of page