Berita Harian | 9 Nov 2024
Buat kali pertama, badan kemanusiaan silang agama setempat, Humanity Matters (HM), dan agensi kemanusiaan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan bekerjasama dalam menganjurkan acara mengumpul dana bagi meringankan beban krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Acara berkenaan akan diadakan pada 17 November di daerah Cairnhill sekitar kawasan Orchard Road.
Ketua Program dan Perkongsian Humanity Matters, Cik Hema Niroshini, berkata dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi memperoleh bekalan makanan, minuman dan penjagaan kesihatan bagi penduduk Gaza yang terjejas.
Bekalan tersebut akan dibungkus dalam kotak oleh sukarelawan Humanity Matters dan dihantar ke Gaza pada Disember 2024.
Justeru, berbekal harapan menyemarakkan lagi semangat membantu, kededua Humanity Matters dan RLAF mengalu-alukan rakyat Singapura dari setiap lapisan masyarakat termasuk pekerja migran untuk berganding bahu menyumbang masa dan tenaga sebagai sukarelawan dalam menjayakan acara pengumpulan dana itu.
Sukarelawan dikehendaki mengumpul dana menggunakan tin derma di kawasan awam sekitar Cairnhill.
Menurut Cik Hema, Cairnhill dipilih sebagai lokasi pengumpulan dana kerana ia terletak di kawasan tengah Singapura dan bakal menarik lebih ramai orang pada 17 November, yang jatuh pada Ahad.
Selain menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa Gaza, Cik Hema berkata pengumpulan dana itu bertujuan menunjukkan sifat perpaduan dalam kalangan rakyat Singapura.
“Dengan sesi pengumpulan dana ini, kami menggalak orang ramai untuk menunjukkan belas kasihan secara kolektif, sama ada mereka orang dewasa, pelajar, atau pekerja asing.
“Idea di sebalik pengumpulan dana ini adalah untuk semua orang bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang,” jelas Cik Hema kepada Berita Minggu (BM).
Mereka yang berminat menjadi sukarelawan untuk pengumpulan dana tersebut boleh memilih antara dua sesi.
Sesi pertama dijadualkan bermula dari 8 pagi hingga 2 petang, manakala sesi kedua berlangsung dari 12 tengah hari hingga 5 petang.
Pendaftaran bagi menjadi sukarelawan harus dilakukan menerusi pautan bit.ly/hmrlafsc sebelum 12 November.
Sukarelawan yang dipilih akan dimaklumkan dengan butiran lebih lanjut pada 13 November.
Pada Mac 2024, Humanity Matters mengumpul lebih $300,000 yang digunakan untuk menghantar bekalan perubatan, makanan dan pakej penjagaan untuk orang awam di Gaza.
Badan ini juga telah menghantar bekalan perubatan dan barangan bantuan lain bernilai lebih $215,000 pada November 2023 kepada pertubuhan bantuan di Kahirah, Mesir yang membantu orang awam di Gaza.
Bekalan bantuan itu, seberat 9.5 tan, telah dibungkus oleh lebih 100 sukarelawan di Singapura pada Oktober 2023.
Comments