top of page

Humanity Matters, RLAF anjur acara kumpul dana untuk Gaza pada 17 Nov

Berita Mediacorp | 14 Nov 24


 

SINGAPURA: Humanity Matters, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan beberapa pertubuhan amal dan korporat akan berganding bahu untuk mengumpul dana pada Ahad (17 Nov) untuk meningkatkan lagi sumbangan rakyat Singapura kepada para mangsa konflik di Gaza, menurut kenyataan medianya pada Rabu (13 Nov).


Humanity Matters dan RLAF mempelawa orang ramai untuk sama-sama turun padang dan menjayakan acara pengumpulan dana itu.


Menurut kenyataan media Humanity Matters dan RLAF, "mengumpul dana merupakan salah satu cara untuk menyalurkan rasa belas kasihan atau kekecewaan mereka terhadap penderitaan di Gaza dengan cara yang membina dan kolektif".


Para sukarelawan akan dibimbing untuk mengagihkan pelekat kepada orang awam, yang membawa mesej 'One Nation One Humanity' untuk mengingatkan warga Singapura bahawa mereka boleh memainkan peranan mereka sebagai sebuah negara kecil yang prihatin dan berbelas kasihan terhadap kesejahteraan dan kemaslahatan warga global yang lain.


Selepas sekitar 400 hari berlaku konflik bersenjata di Gaza, hampir dua juta orang awam kehilangan tempat tinggal dan sangat memerlukan keperluan asas demi kelangsungan hidup.


Sedang Israel membuka akses tambahan di Lintasan Kissufim minggu ini, dua pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Singapura itu akan berganding bahu untuk mempergiatkan lagi usaha bantuan Singapura kepada para penduduk awam di Gaza yang dilanda konflik.


Humanity Matters akan menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Jordan yang kemudian akan dibawa masuk ke Gaza melalui jalan darat pada Jan 2025.


Sejak konflik bersenjata meletus di Gaza pada Oktober 2023, RLAF telah menyelaras dan mengumpul lebih S$10.2 juta dan mengagihkan dana tersebut melalui UNRWA dan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menyokong usaha membantu para penduduk Gaza yang terjejas.


Pada 1 Nov lalu, RLAF telah mengagihkan lagi S$700,000 kepada UNICEF.


Comments


Commenting has been turned off.
bottom of page