Berita Mediacorp | 20 Mar 2024
SINGAPURA: Badan kemanusiaan Singapura Humanity Matters sedang menunggu waktu sehingga Khamis (21 Mac) untuk mula menghantarkan bekalan bantuan buat orang awam di Carikan Gaza.
Ini merupakan penghantaran bantuan kedua Humanity Matters kepada penduduk Gaza.
Kali ini, jumlah bantuan kemanusiaan itu bernilai S$100,000 dan merangkumi bekalan perubatan dan makanan. Humanity Matters berharap untuk membantu sekitar 2,000 orang awam di Gaza.
Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa bekalan bantuan yang meliputi makanan dan perubatan sudah siap dibungkus sejak Selasa (19 Mac).
SEDIAKAN BEKALAN MAKANAN & PERUBATAN UNTUK 2,000 KELUARGA
Encik Hassan dan pasukan empat orangnya serta para relawan dari Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) awal sebelum ini membungkus bekalan bantuan tersebut pada Selasa (20 Mac).
Pasukan dari Humanity Matters itu telah mendapatkan bekalan makanan dan perubatan di Jordan untuk diagihkan kepada sekitar 2,000 keluarga di Carikan Gaza.
Encik Hassan berkata, "Pasukan Humanity Matters berada di Jordan sejak minggu lalu untuk membeli dan membungkus barang makanan termasuk beras, tepung, spageti, minyak masak, ikan dan daging dalam tin, teh, gula dan selainnya."
"Mengikut informasi dari rakan kerja kami di Gaza dan juga laporan agensi antarabangsa, mangsa-mangsa perang di Gaza sekarang paling memerlukan makanan dan perubatan," tambah beliau lagi.
Bekalan perubatan dan makanan yang diperolehi pihak Humanity Matters dan JHCO dianggarkan akan bertahan untuk dua minggu.
Encik Hassan berkata, "Barang makanan tersebut akan berlepas dari Amman hari ini atau esok buat penduduk di utara dan juga selatan Gaza, menerusi laluan darat. Perjalanan dan proses penghantaran dijangka akan mengambil masa tiga hingga lima hari, bergantung kepada proses sekuriti di empat pusat pemeriksaan."
Menurut beliau, menghantar masuk bantuan menerusi laluan darat ada cabarannya tersendiri.
Memandangkan situasi yang kian berubah-ubah di Gaza, pihak Humanity Matters juga perlu memikirkan kaedah dan jalan baharu untuk membawa masuk bekalan bantuan ke dalam kawasan Gaza.
"Buat misi bantuan pertama Humanity Matters untuk Gaza pada bulan November lalu, kami telah menjayakan penghantaran bantuan perubatan sejumlah sembilan tan yang berharga melalui Rafah di sempadan Mesir dan Gaza. Namun, kami difahamkan bahawa buat beberapa bulan ini, terdapat lebih daripada seribu trak atau kenderaan yang terpaksa beratur di sana.
"Awal sebelum ini, kami telah mendapat informasi bahawa laluan di utara Gaza iaitu laluan Erez atau Beit Hanoun, mungkin dibuka. Jadi pihak Humanity Matters membuat keputusan dan rancangan untuk menggunakan jalur tersebut dengan harapan agar bantuan Singapura dapat memasuki Gaza lebih awal dan berkesan," jelas Encik Hassan
Beliau juga mengatakan bahawa badan-badan kemanusiaan yang menanti giliran untuk memasuki Gaza juga bimbang akan serangan besar-besaran oleh tentera Israel ke atas Gaza.
Hal tersebut membuatkan keadaan di lapangan menjadi tidak stabil dan juga berbahaya.
Pasukan-pasukan bantuan harus lebih berhati-hati dalam perancangan dan pengelolaan misi bantuan kepada mangsa-mangsa di Gaza," kata beliau.
PEK BANTUAN UNTUK KANAK-KANAK JUGA DISEDIAKAN
Wang yang digunakan untuk mendapatkan bekalan perubatan dan makanan itu membentuk sepertiga daripada dana sebanyak S$300,000 yang dikumpulkan Humanity Matters semasa kempen kutipan dana yang dilancarkan pada 8 Mac.
Menerusi dana tersebut, Humanity Matters juga dapat menyediakan pek-pek bantuan untuk sekitar 5,000 kanak-kanak di Gaza.
Encik Hassan mengatakan bahawa bantuan itu juga dianggarkan bernilai sekitar S$100,000.
Menurut beliau, penghantaran bantuan itu masih lagi dalam proses perjalanan menerusi lautan.
Ia dijangka akan tiba di Aqaba, Jordan dalam masa sekitar dua minggu sebelum dihantarkan ke Gaza.
BACA:
Buat jangka masa panjang, Encik Hassan juga berharap untuk menggunakan dana yang dikumpulkan untuk membangunkan rangkaian pengagihan air bersih di Gaza.
Kutipan dana Humanity Matters untuk orang awam di Gaza akan berlangsung sehingga 30 April.
Comments