top of page

Humanity Matters kumpul S$35,000 buat mangsa banjir Bangladesh, India & Nepal

Berita Mediacorp | 27 Sep 2024



SINGAPURA: Humanity Matters berjaya mengumpul S$35,000 dalam tempoh kurang sebulan untuk membantu para penduduk Bangladesh, India dan Nepal yang terjejas banjir.


Antara penyumbang terbesarnya termasuk Persatuan Bangladesh Singapura (SBS) yang menyerahkan sumbangan sebanyak S$7,000 pada Rabu (25 Sep).


"Kami sedang melihat lebih banyak krisis kemanusiaan dari segi kemudaratan, kekerapan, skala dan skopnya. Kemusnahan di Bangladesh meluas dan begitu ramai hilang tempat tinggal," ulas penasihat khas Humanity Matters, Hassan Ahmad.


Maka tidak hairanlah, tambah beliau, para pekerja Bangladesh bimbang tentang nasib keluarga dan orang-orang tersayang. Dianggarkan lebih 5.2 juta penduduk Bangladesh terjejas teruk oleh hujan lebat yang berlaku pada Ogos.


"Semua ini diburukkan lagi dengan ketidakpastian disebabkan keadaan sosiopolitik di mana sebelum ini ada bantahan dan rusuhan meluas," katanya lagi.


Kempen Humanity Matters dilancarkan pada 3 Sep lalu dan ia akan terus dijalankan sehingga 15 Oktober.


Untuk mangsa banjir di Bangladesh khususnya, Humanity Matters sudah menghantar beberapa sistem rawatan air ke sana.


Tiga sukarelawan juga dikerahkan di mana pasukan itu menjalin kerjasama dengan penduduk tempatan dan rakan-rakan korporat untuk menghulurkan bantuan di kawasan Feni yang teruk terjejas.


"Kerjasama tersebut membolehkan kami menyediakan bekalan makanan dan air minum yang selamat kepada lebih 700 isi rumah. Ini dapat menghuraikan masalah penghidratan dan kebuluran dalam kalangan mangsa yang hilang tempat tinggal," menurut Humanity Matters menerusi kenyataan medianya pada Rabu (25 Sep).


Rakan-rakan korporat Humanity Matters juga menghantar ubat-ubatan pediatrik kepada ketua pakar bedah awam untuk membantu memenuhi keperluan jagaan kesihatan kanak-kanak di Feni.


Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling, semasa melancarkan kempen Humanity Matters menarik perhatian kepada hutang budi terhadap para pekerja hijrahan di Singapura.


"Anda sudah membantu kami secara fizikal untuk membangunkan negara kita. Jadi kami perlu melakukan sedaya mungkin untuk memberikan jaminan bahawa rakyat Singapura prihatin terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan mental anda," kata Cik Sun.


Beliau turut menggesa syarikat-syarikat untuk menghulurkan bantuan.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi:


- PayNow ke UEN 201920766R

- Cek berpalang kepada Humanity Matters Limited - Tulis 'BIN Monsoon Relief' dan nombor telefon anda lalu kirimkan ke 51 Lorong 17 Geylang, Superior Industrial Building, #02-01, S388571

- Memindahkan dana ke DBS 0279083727 (Swiftcode DBSSSGSG)


Comments


bottom of page