Berita Mediacorp | 29 Jun 2024
SINGAPURA: Badan bantuan kemanusiaan Singapura, Humanity Matters, berjaya mengagihkan 11 tan makanan asas di utara Gaza sepanjang bulan ini.
Jumlah bekalan makanan itu memenuhi keperluan 1,000 keluarga di sana.
Demikian menurut Humanity Matters menerusi satu kemas kini di media sosialnya pada Jumaat (28 Jun).
Badan bantuan kemanusiaan itu menjelaskan bahawa bekalan bantuan tersebut diperoleh oleh pengerahan bantuannya di Jordan dan dihantar menerusi darat ke Gaza pada Mei.
Usaha tersebut turut dijalankan bersama Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO).
Humanity Matters diketahui sebagai salah satu badan bantuan kemanusiaan yang aktif mengumpul dana buat para penduduk di Gaza yang terjejas teruk oleh perang antara Israel dengan Hamas.
Pada April lalu misalnya, pertubuhan itu menarik penyertaan kira-kira 800 orang untuk menggembleng tenaga mengumpul dana di merata Singapura.
Usaha berbilang bangsa itu berjaya mengumpul lebih S$75,000 ketika itu, sekali gus menonjolkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama, untuk membantu penduduk Gaza.
Sementara itu, tentera Israel pada Jumaat menyatakan pihaknya sedang menjalankan serbuan di utara Gaza, membunuh "puluhan" militan di kawasan berkenaan.
Ini sedangkan tentera Israel pada beberapa bulan lalu mengisytiharkan bahawa kubu Hamas di sana sudah berjaya dilumpuhkan.
Operasi itu menyebabkan ramai cedera, menurut para saksi dan pekerja perubatan.
Serangan balas Israel ke atas Gaza sudah membunuh sekurang-kurangnya 37,765 orang, kebanyakannya orang awam, lapor kementerian kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas.
Comments