Berita Mediacorp | 20 Aug 2024
SINGAPURA: Sebuah inisiatif kemanusiaan bagi pengurusan bencana serantau ASEAN CARE dilancarkan pada Isnin (19 Ogos).
Rangkaian serantau itu akan menyelaras pelbagai sumber seperti dana, kepakaran di lapangan serta inovasi bagi tindak balas bencana dan bantuan kemanusiaan yang lebih cekap di Asia Tenggara dan jika perlu, diperluas ke seluruh rantau Asia.
Inisiatif oleh Humanity Matters itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, di satu majlis di di Pusat Punggol Soka petang tadi.
Dalam ucapannya, Encik Shanmugam menukil dapatan Rangkaian Maklumat Bencana ASEAN pada 2023 yang melaporkan 1,000 kejadian bencana alam yang melanda negara-negara di rantau ini tahun lalu.
Ia termasuk taufan, banjir, tanah runtuh, gelombang panas dan kemarau.
Kejadian bencana alam itu telah menjejas lebih 22 juta orang dan menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira S$838 juta (AS$640 juta).
Laporan Risiko Dunia 2023 pula mendedahkan beberapa negara Asia Tenggara menjadi antara 10 negara teratas dengan risiko tertinggi bagi bencana.
TINDAK BALAS BENCANA LEBIH BAIK DIPERLUKAN
Menurut Encik Shanmugam, pengurusan bencana pada masa ini lebih tertumpu kepada tindak balas dan pemulihan.
Sebaliknya, setiap negara kata beliau perlu membangunkan pelan tindak balas bencana sebelum ia terjadi, terus berinovasi dan memanfaatkan teknologi dalam pengurusan bencana dan memperdalam kerjasama antara negara.
"Negara-negara anggota ASEAN telah mencatat kemajuan yang ketara dalam meningkatkan daya tahan bencana di rantau ini tetapi pemerintah tidak boleh melakukannya secara sendirian. Ia memerlukan seluruh masyarakat untuk bersatu dan berusaha. Saya gembira kerana Humanity Matters telah menerajui usaha untuk menubuhkan inisiatif CARE ASEAN ini.
"Ia menghimpunkan pertubuhan bukan pemerintah (NGO), sivik dan kumpulan-kumpulan masyarakat serta kumpulan berlainan kepercayaan dan belia. Saya rasa ASEAN CARE akan bantu mengukuhkan kapasiti dan penyelarasan kita ke arah daya tahan kolektif terhadap bencana," kata Encik Shanmugam.
MANFAATKAN KEKUATAN & SUMBER PELBAGAI SEKTOR DAN MASYARAKAT
ASEAN CARE akan memanfaatkan kekuatan dan sumber pelbagai sektor dan komuniti bagi pengurusan bencana yang lebih bersepadu dan responsif.
Ia akan melengkapi rangka kerja tindak balas serantau sedia ada seperti kerjasama antara pemerintah.
Ini termasuk penyelarasan dana, kepakaran dan rangkaian di lapangan serta inovasi untuk meningkatkan pengenalan risiko bencana, kesiapsiagaan, pemulihan dan tindak balas lebih cekap.
Penasihat khas Humanity Matters, Hassan Ahmad berkata inisiatif itu sudah mula dibangunkan sekitar lima tahun yang lalu.
"Kami telah mula bekerjasama dengan pertubuhan, organisasi dan kumpulan di merata ASEAN. Kami telah bekerja dengan lebih daripada 70 pertubuhan dan kumpulan di ASEAN untuk menangani kejadian bencana alam. ASEAN CARE akan membolehkan kami untuk melebarkan rangkaian bantuan kemanusiaan ini dalam masa empat hingga lima tahun akan datang," kata beliau kepada wartawan Rosli A Razak.
Humanity Matters, tambah beliau, akan melatih rakan-rakan kongsi ASEAN CARE untuk menjalankan misi bantuan pada masa depan.
"Setiap tahun kami melakukan latihan di satu negara. Jadi yang pertama di Filipina, yang kedua di Singapura, yang ketiga di Indonesia, yang keempat pada penghujung tahun ini di Kemboja. Kami melatih mereka dari segi prinsip, dan juga kecelikan budaya, geografi, sistem politik dan juga pengetahuan teknikal melaksanakan bantuan kemanusiaan rentas sempadan," ujar beliau.
Di samping itu, Humanity Matters akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsinya dalam masa empat bulan akan datang untuk menyiapkan simpanan barangan dan keperluan bantuan yang boleh dihantar ke kawasan-dengan segera apabila diperlukan.
Ia termasuk sekurang-kurangnya 60,000 makanan siap untuk dimakan, 5,000 jerigen air dan 20 sistem rawatan air.
Comentários