Berita Harian | 9 March 2024
Duta Jordan ke Singapura, Encik Samer Anton Naber, merakamkan penghargaannya atas inisiatif seperti acara ‘Humanitarian Aid to Gaza’ pada 9 Mac yang dianjurkan Humanity Matters.
Beliau hadir pada acara tersebut di Tadika Soka di Tampines untuk menyaksikan 300 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan usia bersatu-padu membantu membungkus pek bantuan yang bakal diberikan kepada mangsa di Gaza.
Humanity Matters akan menghantar kargo bantuan ke Jordan melalui udara dan menghantarnya ke Gaza dari sana.
Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu juga akan secara peribadi menghantar pengerahan bantuannya untuk memudahkan penghantaran ke Gaza.
Di samping itu, pasukan empat orang akan mendapatkan dan membungkus bekalan perubatan dan makanan di Amman untuk penghantaran ke Gaza.
Menjawab soalan yang diajukan Berita Minggu (BM), Encik Naber berkata ini bukan kali pertama warga dan pemerintah Singapura melakukan inisiatif seperti ini.
“Kami amat menghargai inisiatif ini, di samping pendirian jelas Singapura dalam menyeru gencatan senjata dan menyokong Jordan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia adalah kedudukan berprinsip yang enggan menyasarkan orang awam dan kami sangat menghargai pendirian undang-undang dan normatif Singapura,” ujarnya.
Beliau berkata Singapura dan Jordan bekerjasama untuk menyampaikan bantuan menerusi organisasi amal Hashemite di Jordan demi memastikan bantuan yang diberi disalurkan kepada saluran yang betul.
Encik Naber menambah bahawa kedua-dua negara juga sedang bekerjasama dalam beberapa inisiatif lain yang akan diumumkan kelak. Beliau tidak memberi perincian inisiatif tersebut.
Ditanya sama ada bantuan yang diberikan dari Singapura akan diberikan kepada mangsa di Gaza melalui udara atau ‘air drop’, Encik Naber berkata itu belum dapat dipastikan buat masa ini.
“Jordan melakukan ini (penghantaran bantuan kemanusiaan) dengan beberapa negara lain.
Kami masih belum dapat pastikan bagaimana peraturannya bergerak ke hadapan tetapi kami berharap bantuan yang diberikan akan disalurkan kepada saluran yang betul,” jawab beliau.
Sementara itu, turut ditemui di acara tersebut ialah anggota beberapa badan Melayu/Islam termasuk Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).
Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, berkata seramai 10 sukarelawan daripada badan tersebut hadir untuk sama-sama bantu membungkus pek bantuan kepada mangsa di Gaza.
Menurutnya, lebih ramai sukarelawan 4PM telah menyahut seruan untuk turun padang, namun dek kekangan ruang, hanya 10 yang boleh ikut serta.
Beliau mengalu-alukan acara seperti itu kerana ia merupakan wadah kesedaran bagi anak muda untuk menabur bakti dan membina rasa peduli terhadap apa yang berlaku di luar negara.
“(Anak muda) patut datang dari lensa kemanusiaan, tidak kira bangsa atau agama. Ia menyatukan semua daripada pelbagai organisasi. Kita bersatu hati untuk membantu, itu penting.
“Ia juga menjadi wadah untuk para belia meluahkan perasaan mereka dengan cara yang positif, bukan melalui keganasan atau kekerasan tetapi melalui wadah positif yang juga dapat membina keperibadian para belia kita,” kata Encik Nassar.
Dalam pada itu, dari 9 Mac hingga 30 April 2024, Humanity Matters juga sedang mengumpul dana bagi mangsa di Gaza.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui PayNow kepada UEN: 201920766R (nyatakan nama dan nombor telefon bimbit di ‘Comment for Recipient’); atau dengan menghantar cek berpangkah kepada Humanity Matters Limited (nyatakan Gaza Relief 24 serta nombor telefon anda di belakang) dan hantar kepada 51, Lorong 17 Geylang, Superior Industrial Building, #02-01, S388571.
Comments