top of page

Cabaran besar bawa bekalan kemanusiaan ke Gaza, badan SG terus pergiat usaha hulurkan bantuan

Berita Mediacorp | 7 Dec 2023



SINGAPURA: Perang Israel-Hamas sudah berlarutan genap dua bulan dengan keadaan di wilayah Gaza terus menjadi cabaran bagi bantuan kemanusiaan untuk dibawa masuk ke Carikan Gaza.


Di sebalik cabaran itu, badan-badan kemanusiaan Singapura terus pergiatkan usaha menghantar bantuan bekalan untuk membantu mangsa perang Israel-Hamas.


Dengan situasi di lapangan masih berisiko, pertubuahan-pertubuhan kemanusiaan tempatan terpaksa merentasi pelbagai hambatan demi meringankan kesengsaraan penduduk Gaza.


HALUAN YANG TERBATAS


Antara cabaran yang perlu diatasi termasuk memastikan barangan bantuan benar-benar disalurkan ke Gaza sendiri.


“Lintasan Rafah sebenarnya adalah lintasan manusia dan bukan lintasan untuk memasukkan trak yang membawa barangan bantuan kemanusiaan.


"Jadi ada sedikit persediaan yang harus dijalankan oleh pihak Mesir,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) Encik Mohd Faizal Othman kepada BERITA Mediacorp.


Beliau yang sudah ke Kaherah, Mesir, sebelum ini turut menambah bahawa terdapat juga cabaran dari segi pemeriksaan yang ketat serta sekatan-sekatan barangan tertentu yang dilaksanakan.


Perkara itu turut diakur Pengerusi Mercy Relief Encik Satwant Singh yang berkata bahawa buat masa ini tidak ada jalan masuk sembarangan ke Gaza.


eliau menambah ini termasuk perjalanan ke kem pelarian dan bekalan yang dibawa masuk dipantua.


"Jadi kita perlu ada penilaian di lapangan kerana kita berdepan dengan banyak cabaran. Kita tidak boleh ke sana secara melulu," tegas beliau.


PERSPEKTIF POLITIK & RETORIK AGAMA MAIN PERANAN


Prosedur yang sulit dan luar biasa itu memaksan badan kemanusiaan seperti Humanity Matters untuk menyesuaikan diri.


Penasihat Khas Humanity Matters Encik Hassan Ahmad menjelaskan bahawa krisis kemanusiaan itu sebenarnya rumit dalam pelbagai cara termasuk dari sudut politik.


“Ia secara langsung melibatkan beberapa negara yang berkongsi sempadan wilayah, ditambah pula dengan dinamik global yang lebih luas dan kepentingan antarabangsa yang berbeza-beza," kongsi Encik Hassan.


Selain badan-badan antarabangsa, banyak juga negara khususnya negara-negara Islam yang lantang bersuara dalam isu Israel-Palestin.


Cabaran politik yang rumit itu secara tidak langsung ada tempiasnya kepada cabaran retorik agama di dalam negara.


Encik Hassan menambah: "Kami umat Islam di era moden ini saya rasa telah didedahkan secara kerap sejak tahun 1940-an dan 1950-an berkaitan konflik Palestin-Israel atau Arab-Israel, yang boleh memberi gambaran bahawa ia adalah konflik Muslim-Yahudi tetapi ini sebenarnya tidak benar."


Bagi Encik Faizal pula, tragedi kemanusiaan itu tidak seharusnya menjadi sebab berlakunya perpecahan dalam masyarakat.


"Saya kira ia bukan sahaja mencetus keprihatinan orang-orang Islam sebab apabila kita melihat keadaan menerusi media dan media sosial tercetus rasa kemarahan dan rasa simpati dan ini adalah satu naluri biasa untuk manusia," ujar beliau.


PERPADUAN KEIHSANAN SG


Kempen kumpul dana RLAF bagi Gaza yang berlangsung sekitar sebulan misalnya menyaksikan lebih $6.7 juta disumbangkan daripada para penderma pelbagai latar belakang dan agama.


Jumlah itu juga merupakan rekod tertinggi pernah dikumpulkan RLAF.


Humanity Matters juga menyaksikan penyertaan orang awam daripada pelbagai usia, agama dan kaum dalam usaha menyediakan barangan bantuan ke Gaza.


"Belia-belia yang banyak menerajui usaha memulaukan sesebuah jenama. Jadi bukan sahaja masyarakat Islam.


"Konflik kali ini memang skalanya begitu luas, begitu teruk sehingga ramai juga terkilan dengan kesengsaraan dilalui kaum Palestin sekarang ini," luah Encik Hassan.


Lantaran itu, usaha bantuan kemanusiaan, menurut Encik Satwant, tidak perlulah bersifat memilih.


Beliau berkata: "Apabila kita mengirimkan bantuan, kita tidak lihat kepada agama, warna kulit, fahaman ataupun baik buruk seseorang.


"Kita hanya lihat pada satu sahaja. Dia itu manusia. Itu tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menolong manusia lain."


LANGKAH-LANGKAH SETERUSNYA


Memandangkan perang Israel-Hamas yang bermula 7 Oktober lalu nampaknya berlarutan, pertubuhan-pertubuhan tempatan merancang untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan ke penduduk Gaza.


Antaranya, Encik Faizal berkata bahawa RLAF akan menyalurkan baki derma yang dikumpul kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) untuk menjalankan tugas mereka.


“Kami akan berusaha untuk membuat lawatan di Gaza bagi kerja-kerja pemantauan tetapi kami diberitahu bahawa anda hanya boleh memasuki Gaza apabila keadaannya lebih tenang” beliau menambah.


Sama seperti RLAF, Humanity Matters juga sedang memantau keadaan di Gaza dengan lebih teliti.


Menurut Encik Hassan, Humanity Matters akan menilai keperluan jangka pendek dengan lebih teliti dan juga jangka panjang untuk mengaturkan strategi yang lebih berkesan.


Bagi Mercy Relief pula, Encik Satwant menjelaskan bahawa program-program yang dikendalikan pertubuhan tersebut melibatkan keperluan asas seperti makanan, minuman dan terutama sekali perubatan.


“Kami sedang berbincang bersama rakan-rakan di Singapura untuk meneroka cara-cara untuk mengirimkan semua barangan ini," ujarnya.


Comments


bottom of page