top of page

Boleh bantu mangsa perang di Palestin tapi bukan dengan kekerasan & tolak keganasan: Zaqy Mohamad

Berita Mediacorp | 16 Jul 2024



SINGAPURA: Masyarakat boleh terus menunjukkan rasa simpati dan sama-sama bantu mengurangkan penderitaan yang dialami mangsa-mangsa perang di Palestin.


Namun, ia bukan dengan cara kekerasan dan sebaliknya mesti menolak keganasan.


Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad dalam ucapannya di sebuah sesi perbincangan anjuran Humanity Matters hari ini (16 Jul).



Encik Zaqy turut menyentuh tentang dua individu yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) selepas menjadi radikal ekoran konflik Israel-Hamas.


BACA:


MESTI MENOLAK KEGANASAN


Dalam ucapannya, Enzik Zaqy berkata: “ Ramai daripada kita rasa simpati terhadap keadaan di Palestin dan dapat berita dan perkongsian video setiap hari.”


"Namun, ada perbezaan ketara antara bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, berbanding dengan menyokong keganasan bersenjata serta mempunyai pandangan ekstremis dan dan mahu mencederakan orang lain menerusi tindakan ganas," tambahnya.


Encik Zaqy menekankan bahawa ada cara lain untuk bantu mengurangkan kesengsaraan mereka.


“Kita patut terus menunjukkan sokongan kita untuk orang Palestin, bagi perjuangan mereka dan untuk mereka punyai negara mereka sendiri - huraian dua negara. Kita patut tunjukkan belas ihsan dan kumpul sumber untuk secara proaktif bantu kurangkan penderitaan dan kesengsaraan mereka sedang dunia dan pihak berkuasa berusaha mewujudkan kedamaian tapi kita tidak boleh gunakan keganasan. Kita mesti mengecam dan tolak keganasan,” ujar Encik Zaqy.


Berkenaan ancaman pengganasan terhadap negara majmuk seperti Singapura pula, Encik Zaqy menjelaskan bahawa negara seperti Singapura mudah terdedah kerana penduduknya sangat terhubung dengan maklumat dan rangkaian rentas sempadan.


"Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, dan pada masa yang sama menjadi hab antarabangsa dengan pelbagai tenaga kerja asing yang berpangkalan di sini – menjadikan ini lebih ketara. Elemen baharu bermakna dinamik baharu, yang seterusnya boleh mencipta ‘garis keretakan' baharu," jelas Encik Zaqy.


Lantaran itu, beliau juga memberi peringatan bahawa masyarakat perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman-ancaman pengganasan.


“Kita melihat bagaimana ajaran ekstremis dan eksklusif dan sikap pemimpin politik, masyarakat atau agama sayap kanan menjalar ke arus perdana,” ujar beliau.


Dalam hal itu juga, Encik Zaqy berkata bahawa masyarakat perlu bijak dan meraih lebih banyak maklumat tentang isu pengganasan.


Beliau berkata: "Memandangkan tidak mungkin kita dapat memutuskan hubungan dengan dunia, kita mesti sentiasa dan sewajarnya mendidik, menyuntik dan melengkapkan diri dan masyarakat kita, untuk menghadapi ancaman ini dengan lebih baik.”


ALI SOUFAN KONGSI PANDANGAN TENTANG KUMPULAN PENGGANAS, TEKNOLOGI DAN PEMBUBARAN JI


Sesi perbincangan bersama pakar keselamatan antarabangsa dan membanteras keganasan, Ali Soufan ini dihadiri sekitar 80 peserta berbilang kaum, agama dan negara.



Dengan tema “Trend Global yang Mengancam Masyarakat Majmuk”, pelbagai isu seperti keselamatan awam dan kestabilan sosial yang terancam diketengahkan.


Encik Soufan juga menyentuh tentang keadaan dan perkembangan kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan ISIS serta peranan teknologi yang boleh sama ada membanteras atau menyebarkan lagi ideologi pengganas.


Sesi selama dua jam itu juga merangkumi perkongsian pandangan ejen khas penyeliaan FBI itu tentang keselamatan di rantau ini, pembubaran kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) serta perkembangan pengganasan di seluruh dunia yang boleh menjejas Singapura.



Acara itu diadakan bersempena minggu Hari Keharmonian Kaum dan menyokong Gerakan SGSecure.


Comentários


bottom of page