Berita Mediacorp | 9 Nov 2023
SINGAPURA: Bekalan bantuan badan kemanusiaan Singapura, Humanity Matters, yang bernilai $215,000, serta kesemua anggota pasukannya tiba di Kaherah, Mesir Sabtu lalu (4 Nov).
Sepanjang beberapa hari lalu, pasukan Humanity Matters bertemu dan berganding bahu dengan pelbagai pasukan bantuan kemanusiaan, yang giat beroperasi di lapangan. Ini termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Palestin dan Turki.
Ia sebahagian daripada usaha untuk memahami keadaan di Gaza serta apakah sistem operasi dan syarat-syarat yang dikuatkuasakan di Gaza, sempadan Rafah dan juga dua tempat operasi iaitu di Ismailia dan El Arish.
Humanity Matters juga melakukan urusan pentadbiran yang diwajibkan Kementerian Perpaduan Sosial bagi Perlindungan Sosial dan Pembangunan dan Kementerian Kewangan Mesir.
Usaha-usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil.
Anggota Pasukan Bantuan Humanity Matters, Zohree Wahab memberitahu BERITA Mediacorp, bekalan bantuan dari Singapura sudah pun mendapat keizinan untuk dihantar langsung menerusi Lintasan Rafah dan memasuki Gaza esok (10 Nov).\
Encik Zohree menambah bahawa menurut pasukan bantuan yang sedang beroperasi di Gaza, terdapat banyak kes penyahhidratan atau kehilangan garam dan air daripada tubuh badan, serta kes kekurangan zat makanan yang sedang dialami ramai pelarian Gaza.
Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang cedera di mana sebilangan besarnya adalah kanak-kanak.
Maka itu, cecair intravena sejumlah 10,000 paket dan juga ubat penahan sakit yang dibawa pasukan Humanity Matters dari Singapura, diharap dapat membantu menangani keperluan isu-isu sedemikian.
Menurut pasukan Humanity Matters lagi, pihak berkuasa Lintasan Rafah hanya membenarkan bekalan bantuan untuk masuk ke Gaza, dan bukan kakitangannya.
Maka itu, adalah penting bagi pasukan bantuan untuk dibantu agensi bantuan luar bagi menjalin hubungan kerja rapat dengan rakan kongsi tempatan, seperti Pasukan Bulan Sabit Merah Mesir dan juga Palestin.
Ini agar bekalan bantuan dapat diterima dengan selamat oleh PRCS di Lintasan Rafah di bahagian Palestin.
Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menyampaikan penghargaannya kepada sumbangan dan bantuan dari Singapura.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Singapura yang membuat sumbangan bagi mengurangkan kesengsaraan mereka yang meninggalkan rumah, mangsa-mangsa, ibu-ibu muda dan juga bayi-bayi.
"Sumbangan anda menyentuh hati kami dan kami menghargai perpaduan dan sikap kemanusiaan ini," ujar Setiausaha Agung PRCS (Kaherah), Dr Tarek Arafat.
Comments