Berita Harian | 1 Apr 2023
MAGELANG (Jawa Tengah): Humanity Matters (HM), sebuah badan antara agama berpangkalan di Singapura, telah mengerahkan sebuah pasukan alumni Asia Tenggara daripada program Faiths@Work (F@W) untuk membantu usaha kemanusiaan di daerah Magelang, Jawa Tengah, berikutan letusan Gunung Merapi pada 11 Mac.
Pasukan lima orang itu terdiri daripada alumni dari Singapura, Filipina, Myanmar, dan Indonesia.
Mereka bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Muhammadiyah (MDMC) dan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) untuk meninjau keadaan di sana.
Badan yang tidak meraih untung itu telah membawa dan memasang satu unit sistem rawatan air dan menubuhkan pusat rangkaian pengagihan air minuman yang selamat di Pusat Pemindahan Akhir (TEA), untuk memudahkan penghidratan yang mencukupi dan sesuai untuk mangsa.
Sekitar 1,000 tin ‘jerry’ yang boleh dilipat turut dibawa masuk dari Singapura bagi membolehkan masyarakat tempatan mengumpul dan menyimpan air terawat dengan cara yang bersih.
Selain itu, pasukan itu menyediakan lima unit penumpu oksigen gred perubatan dan membantu menyediakan kemudahan penjagaan pernafasan khusus di Klinik Bersalin & Kanak-Kanak Aisyiyah untuk menyokong kes pernafasan bagi penduduk setempat, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah paru-paru kronik seperti semput.
Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, yang juga berada di Jawa Tengah semasa letusan besar Merapi pada 2010, berkata:
“Sistem amaran keselamatan untuk Gunung Merapi kini berada di Tahap Amaran 3, dengan letusan kuat terbaru berlaku pada 11 Mac.
"Lava masih mengalir dari semasa ke semasa. Letusan gunung berapi besar biasanya menyebabkan pencemaran atmosfera yang teruk sambil menyesarkan penduduk jiran yang tinggal berhampiran gunung berapi.
“Fokus kami sekarang adalah untuk menyediakan dan menangani keperluan paling penting bagi mangsa seperti oksigen dan air bagi pernafasan dan penghidratan."
Inisiatif serupa telah dilaksanakan oleh Humanity Matters pada Oktober 2022 di Kabupaten Sleman, Yogyakarta, yang turut terjejas akibat letusan Gunung Merapi.
Projek tersebut turut disokong oleh Yayasan Temasek menerusi Faiths@Work.
Comments