Berita Mediacorp | 9 Mar 2024
SINGAPURA: Seramai 300 sukarelawan, sebahagian besarnya belia Singapura, berganding bahu dan menyingsing lengan pada Sabtu (9 Mac) untuk membungkus barangan 'khas' buat kanak-kanak di Gaza.
Bungkusan yang dipanggil ‘Kidz Comfort Packs’ itu diharap memberikan sedikit keselesaan untuk kanak-kanak yang terjejas oleh konflik yang masih berlarutan di Gaza.
Para sukarelawan, yang sebahagian besarnya pelajar dari sekolah menengah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), maktab rendah, madrasah, politeknik dan universiti, membungkus sebanyak 5,000 pek di Soka Kindergarten di Tampines pada Sabtu (9 Mac).
Setiap satu daripadanya mengandungi beg galas, bantal boleh dikembungkan, 'gummy' bervitamin, snek, botol air, 'stress ball' dan anak patung.
Mereka disertai Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.
Encik Hassan Ahmad, Penasihat Khas untuk Kemanusiaan di Humanity Matters mendedahkan kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis, bahawa pihaknya memutuskan untuk menganjurkan inisiatif pada Isnin lalu (4 Mac).
Ini bermakna masa yang singkat untuk memperolehi kesemua barang yang diperlukan, selain mengerahkan tenaga relawan.
"Walaupun inisiatif ini namun ramai yang telah mendaftar. Lebih daripada 600 rakyat Singapura telah mendaftar. Walau bagaimanapun tempat yang kecil ini tidak dapat menghimpunkan semua orang. Kami hanya boleh ambil 300 sukarelawan untuk membungkus barangan ini," kata Encik Hassan kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis
Encik Shanmugam turut memuji sokongan padu yang ditunjukkan.
"Kami berkumpul sebagai sebuah masyarakat dan kami membantu. Ini bukan tempat pertama kami memberi bantuan dan ini bukan yang terakhir. Kami membantu. Rakyat Singapura bermurah hati, apabila mereka melihat orang-orang memerlukan di negara-negara lain, sama ada bencana alam, atau di sini, ia adalah situasi perang. Rakyat Singapura tampil untuk membantu. Dan kami membantu, saya fikir kerana kami mampu \dan mempunyai rasa keihsanan.," kata Encik K Shanmugam.
USAHA SEBEGINI BANGKITKAN SIFAT IHSAN DALAM MASYARAKAT
Antara relawan yang turun padang hari ini ialah Nur Nabilah Mohamed Isa, 17 tahun.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kent Ridge itu berkata bahawa beliau berasa amat bersyukur kerana mendapat peluang untuk membantu para penduduk di Gaza.
"Saya percaya ia penting untuk memiliki sifat peri kemanusiaan dan saya benar-benar ingin membantu penduduk di Gaza. Mungkin terutamanya kanak-kanak kerana saya kasihan terhadap mereka. Saya berharap yang lebih ramai belia menyertai kempen sebegini untuk membantu penduduk di Gaza," kata Nabilah kepada BERITA Mediacorp.
Semangat bergotong-royong juga satu peluang untuk menyemarakkan rasa empati.
"Saya rasa ini satu-satunya cara kami di Singapura boleh membantu penduduk Gaza yang menderita di sana. Walaupun kami tidak memainkan peranan atau membuat sumbangan yang besar, kami masih mengambil bahagian dalam inisiatif ini. Kami masih memainkan peranan kecil yang juga sangat penting kerana kami berasa empati dengan mereka yang sedang menderita di Gaza,' kata seorang lagi relawan Muhammad Shameem.
PELAJAR MADRASAH TERJEMAH MESEJ, DOA ORANG RAMAI KE DALAM BAHASA ARAB
Selain itu, Humanity Matters juga melancarkan mural online untuk rakyat Singapura menyampaikan harapan dan doa mereka bagi orang awam yang menjadi mangsa perang berlarutan Israel-Hamas.
Pihak Humanity Matters mendapatkan khidmat pelajar dan guru-guru madrasah untuk membantu menterjemahkan mesej orang ramai ke dalam bahasa Arab.
Bungkusan-bungkusan itu akan dihantar menggunakan kargo ke Jordan pada Rabu (13 Mac) sebelum dihantar ke Gaza.
Selain itu, sebuah pasukan seramai empat orang akan akan juga dikerah untuk membeli dan membungkus ubat-ubatan serta bekalan makanan di Amman, Jordan untuk dihantar ke Gaza.
Sebelum ini, Humanity Matters mengerahkan pasukan empat anggota ke Mesir untuk membantu dalam usaha penghantaran 9.4 tan bekalan bantuan dari Singapura ke Gaza semasa gencatan senjata kemanusiaan pertama pada November 2023.
USAHA KUMPUL DANA 9 MAC-30 APRIL
Mulai hari ini (9 Mac) hingga 30 April, Humanity Matters juga mengumpul dana bagi orang awam di Gaza.
Derma boleh dibuat melalui dua kaedah berikut.
A. PayNow KE UEN: 201920766R
[nyatakan nama dan nombor telefon di ruang 'Comment for Recipient']
B. Cek yang dipangkah kepada Humanity Matters Limited
[nyatakan Gaza Relief 24 dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek. Kirimkan cek ke 51, Lorong 17 Geylang, Superior Industrial Building, #02-01, S388571]
Comments